Friday, May 15, 2009

SEJARAH TIKL (TECHNICAL INST.KL)

TIKL ini merupakan sekolah menengah teknik yang tertua di Malaysia. Sejarah penubuhan sekolah ini boleh dikesan dari tahun 1926. Pada tahun 1927, "The Federated Malay State Government Trade School" telah diwujudkan setelah kerajaan Negeri-negeri Bersekutu merasakan perlu melatih pekerja-pekerja dalam bidang teknikal. Sekolah ini telah didirikan pada mulanya di Jalan Kolam Air dengan bilangan staf seramai 7 orang, 4 jurulatih, seorang kerani, seorang 'steward' dan seorang pelayan pejabat.

Penubuhan sekolah ini bertujuan untuk melatih anak-anak Melayu Negeri-negeri Bersekutu dalam bidang kemahiran teknikal selama tiga tahun. Pada waktu itu, bilangan pelajar hanyalah 10 orang, 2 dari keempat-empat Negeri Bersekutu dan 2 lagi dari Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Penubuhan sekolah ini juga bertujuan melatih juruteknik untuk Jabatan Kerja Raya dan juga Tentera Udara Diraja. Latihan-latihan yang diberi adalah seperti lukisan teknik, pertukangan besi dan mata pelajaran 'motor mechanic' dengan penekanan kepada kerja membaiki enjin. Ilmu hisab dan Bahasa Inggeris juga terdapat dalam sukatan pelajaran pada masa itu. Beberapa tahun kemudian, kursus-kursus mengenai radio elektrik, ladung-meladung dan pertukangan kayu telah diperkenalkan. Dengan kedatangan pihak British pada tahun 1946, sekolah tersebut telah dibuka semula dengan nama 'Junior Technical Trade School' dengan jumlah pelajar seramai 80 orang. Namanya sekali lagi ditukar mengikut syor dalam Laporan Razak, tahun 1956, kali ini dengan nama 'Technical Institute' selaras dengan salah satu syor Laporan Razak. Laporan tersebut mengesyorkan 'Junior Technical Trade School' perlu ditukar menjadi sekolah menengah penuh yang boleh menawarkan pelajaran asas teknikal bagi para pelajar yang telah menduduki peperiksaan 'Lower Certificate Of Education'(LCE) atau dikenali sebagai 'Penilaian Menengah Rendah'(PMR) sekarang.

Akhirnya, pada tahun 1962, kerajaan bersetuju dengan nama yang ada sekarang iaitu Sekolah Menengah Teknik Cheras.

No comments:

Post a Comment